MENU

Pada 25 November 2013, Unit Penguatkuasaan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) telah menjalankan operasi meroboh 12 buah gerai haram yang didirikan di sekitar Bandar Chiku. Operasi itu membabitkan 9 orang anggota penguatkuasa dan 10 orang kakitangan MDGM dengan dikawal oleh 6 orang anggota polis dan 10 orang anggota RELA bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang operasi berjalan.

Turut terbabit dalam dalam operasi berkenaan masing-masing 4 orang petugas Tenaga Nasional Berhab (TNB) bersama petugas Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang diarah untuk memotong bekalan elektrik dan air lebih awal sebelum operasi dijalankan. Ketua Operasi, En. Kamarudin Bin Idris berkata, operasi merobohkan gerai haram itu adalah untuk memberi peluang kepada peniaga berpindah ke Pasar Bandar Chiku yang baru beroperasi tiga bulan lalu dan belum ramai peniaga berpindah ke situ walaupun arahan telah dikeluarkan oleh pihak MDGM sebelum ini.

Katanya, MDGM telah banyak bertolak ansur terhadap peniaga di kawasan terbabit dengan megeluarkan notis pengosongan sejak 5 bulan lalu dan memberi lebih masa panjang untuk mereka memindah barang serta merobohkan gerai itu sendiri. Kawasan pembinaan gerai perniagaan itu tidak selamat kerana berada di bahu jalan masuk ke Bandar Chiku dan mudah terdedah kepada kejadian tidak diingini termasuk kemalangan serta kawasan itu menjadi kotor tanpa terkawal. Selepas diroboh semua gerai itu nanti, pihak MDGM akan membuat pemantauan dan meletakkan papan notis melarang sesiapa sahaja menjalankan perniagaan di kawasan tersebut walaupun secara sementara jika tidak tindakan lebih tegas akan diambil jika ada peniaga yang masih ingkar dengan arahan Pihak Berkuasa Tempatan.