NKRA ke-4 pacu penambahbaikan JKM
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 4 December 2009.
ENAM Bidang Keberhasilan Utama (National Key Results atau NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai tahun ini bakal meringankan beban rakyat berpendapatan rendah di mana antara sasaran utama NKRA ialah menyalurkan semua bantuan kebajikan kepada penerimanya pada 1 hari bulan pada setiap bulan mulai Januari 2010 ini.
Sebagai menteri peneraju, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil diberi tanggungjawab menerajui NKRA keempat iaitu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah ini. Seperti diketahui, salah satu KPI disasarkan bagi mencapai NKRA ialah membayar semua bantuan kebajikan kepada penerima pada 1 hari bulan pada setiap bulan mulai Januari 2010 ini.
Namun, apa yang membanggakan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah berjaya melaksanakan pembayaran itu mulai 1 September lalu kepada semua penerima bantuan di Semenanjung Malaysia. Langkah proaktif JKM ini memberi faedah dan manfaat kepada 276,143 penerima bantuan dengan jumlah anggaran perbelanjaan sebanyak RM38.5 juta sebulan.
JKM mengendalikan dua skim bantuan kebajikan iaitu Skim Bantuan Persekutuan dan Skim Bantuan Am Negeri. Kedua-dua skim ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Senarai 3 iaitu senarai bersama (Concurrent List), Jadual kesembilan senarai perundangan. Bagi Skim Kadar Bantuan Am Negeri bagaimanapun tidak seragam di antara negeri, tetapi Skim Bantuan Persekutuan, bantuan dan kadarnya adalah sama bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Di samping itu, beberapa usaha penambahbaikan perkhidmatan JKM sedang dilaksanakan iaitu memendekkan masa permohonan dan kelulusan bantuan di mana JKM sedang meneliti semula proses kelulusan bantuan bagi permohonan bantuan supaya dapat dipendekkan kepada satu minggu atau tujuh hari bekerja berbanding tempoh masa yang diamalkan sekarang iaitu sebulan.