
<<kembali
KUALA BETIS - Pelajar Orang Asli di daerah ini disaran agar merebut peluang dengan segala kemudahan yang disediakan kerajaan bagi memastikan mereka juga mempunyai taraf pendidikan sama dengan kaum lain di negara ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Kelantan dan Terengganu, Abdul Razak Arshad ketika berucap pada majlis suai kenal pelajar baru, kelmarin berkata, kerajaan melalui pelbagai jabatan menyalurkan banyak bantuan kepada masyarakat Orang Asli.
Menurutnya, masyarakat Orang Asli perlu sedar, kerajaan dari semasa ke semasa cuba membantu untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka, terutamanya melalui pendidikan.
“Pelajar masyarakat Orang Asli ini mempunyai keistimewaan apabila bermula tahun lalu, mereka dibekalkan dengan wang saku.
“Pemberian wang saku ini bertujuan memberi dorongan dan perangsang kepada mereka yang berada di peringkat sekolah rendah agar lebih rajin datang ke sekolah,” katanya.
Abdul Razak berkata, seramai 700 pelajar Orang Asli menerima bantuan wang saku pada majlis yang diadakan itu.
“Daripada jumlah tersebut, 687 pelajar Orang Asli dari Kelantan dan yang selebihnya dari Terengganu," katanya.
Beliau berkata, tahap kesedaran masyarakat Orang Asli sudah meningkat dan ini dapat dibuktikan dengan pertambahan dalam jumlah besar bagi mereka yang mendaftar ke sekolah menengah tahun ini.
“Pada tahun sebelum ini, jumlah pelajar yang memasuki sekolah menengah lebih 100 orang dan tahun ini mencapai 330.
“Ini menunjukkan peningkatan yang begitu banyak dan ia merupakan satu perubahan membanggakan,” katanya.
Katanya, pelbagai kemudahan lain disediakan untuk anak masyarakat Orang Asli, termasuk pakaian sekolah, buku teks dan kelas tuisyen percuma bagi meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran.
“Jadi, kita mengharapkan mereka dapat merebut peluang ini dan menggunakannya sebaik mungkin bagi memajukan diri setaraf dengan bangsa lain,” katanya.